NABI Adam a.s gembira apabila menoleh
kepalanya ke kanan kerana menyaksikan kalangan zuriatnya, iaitu umat
manusia melakukan amalan baik dan akhirnya melayakkan mereka masuk
syurga.
Namun
apabila baginda menoleh ke kiri, di dapati ada juga kalangan umat
manusia yang diseksa dalam neraka akibat balasan amalan-amalan jahat
yang mereka lakukan, Ini menyebabkan Nabi Adam sedih dan kecewa.
Demikianlah
di sebalik makna perlakuan yang ditunjukkan oleh lelaki bertubuh sasa
dan tinggi yang pertama ditemui oleh Nabi Muhammad sejurus memasuki
langit pertama dalam perjalanan Mikraj untuk menemui Allah di
singgahsana Sidratul Muntaha.
Baginda
begitu gembira dapat bertemu dan mengenali manusia pertama ciptaan
Allah itu yang kemudiannya menjadi bapa kepada seluruh manusia di muka
bumi ini.
Selepas
memberi salam kepada Nabi Adam, Nabi Muhammad kemudiannya dibawa naik
ke langit kedua dan di situ baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa.
Diikuti langit ketiga, baginda bertemu Nabi Yusuf, langit kelima, Nabi
Harun dan Musa di langit keenam.
Nabi Muhammad akan memberi salam dan mengakui kenabian kepada setiap nabi yang baginda temui.
Apabila
tiba di langit ketujuh, Nabi Muhammad berpeluang menyaksikan Baitul
Makmur, iaitu rumah ibadat, binaan sama seperti Kaabah bagi penghuni
langit terutamanya para malaikat beribadah dan melakukan tawaf.
Sesetengah mengatakan terdapat hampir 70,000 malaikat yang melakukan tawaf di Baitul Makmur itu.
Ia dikatakan mempunyai kedudukan yang bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi.
Di situ juga baginda melihat ada seorang lelaki yang wajahnya dikatakan hampir menyerupai Rasulullah sendiri.
Lalu baginda bertanya kepada Jibrail siapa lelaki berkenaan. Jibrail berkata: "Dialah nenek moyang kamu, Nabi Ibrahim."
Baginda
sungguh gembira dengan pertemuan ini kerana dapat mengenali Nabi
Ibrahim yang mempunyai sejarah kenabian sangat hebat terutama mampu
mengalahkan Raja Namrud, berhijrah ke Palestin dan terpaksa
meninggalkan isterinya Siti Hajar dan si anak Nabi Ismail. Dari situ ia
menjadi titik permulaan pembukaan Kota Mekah dan mendirikan Kaabah
seperti yang diperintahkan oleh Allah.
Sejurus pertemuan yang sungguh bermakna itu, baginda berjalan sehingga ke penghujung langit ketujuh.
Berubah bentuk
Di
situ baginda melihat bagaimana malaikat Jibrail yang menyerupai
manusia berubah kepada bentuk asalnya. Bentuk yang sama seperti yang
baginda pernah temui buat pertama kali semasa berjalan pulang ke
rumah dari Gua Hira'.
Kebenaran
perkara ini tidak dapat disangkal. Ia benar-benar terjadi sebagaimana
yang disebut dalam al-Quran, iaitu ayat 13 hingga 18 surah an-Najm yang
bermaksud: Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail itu
dalam rupanya yang asli iaitu berdekatan dengan Sidratul Muntaha, yang
juga berdekatan dengan syurga al Makwa, (Muhammad melihat Jibrail)
ketika di Sidratul Muntaha dilitupi oleh sesuatu yang melitupinya.
Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan
tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian
tanda-tanda (kekuasaan) Tuhan-Nya yang paling besar.
Selain
bagi mengesahkan pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat Jibrail pada
rupanya yang asal, ayat ini juga sebagai mengesahkan mengenai pertemuan
agung antara Nabi SAW dengan Allah Rabbul Jalil secara bersemuka.
Inilah
keistimewaan Nabi Muhammad dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan
jaga dan bersemuka walaupun pertemuan tersebut tidak turut dihadiri
oleh malaikat Jibrail.
Sebelum
itu Jibrail telah meminta Nabi Muhammad mara ke hadapan iaitu memasuki
Sidratul Muntaha, tempat sangat luar biasa yang tidak akan mampu
terfikir oleh manusia biasa.
Apabila
Nabi Muhammad turut mengajak malaikat Jibrail untuk bersama-sama
dengan baginda, Jibrail berkata: "Kalau aku selangkah mara ke hadapan,
maka aku akan hangus terbakar."
Lalu
di hadapan Allah itu yang dikatakan jaraknya hanyalah 'dua busur
panah' atau lebih dekat lagi dari itu, Nabi Muhammad diperintahkan
sembahyang 50 waktu sehari semalam.
Iaitu ibadat menyembah-Nya untuk dilakukan oleh Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda setiap hari.
Berbanding
ibadat lain yang difardukan melalui turunnya wahyu yang disampaikan
oleh malaikat Jibrail namun ibadat solat adalah perintah secara
langsung daripada Allah.
Sebab
itu di hari kiamat perkara pertama yang ditanyakan oleh Allah terhadap
setiap individu umat Islam ialah mengenai perihal solatnya.
Segala
amalan kebaikan dan kebajikan yang lain seolah-olah tidak bermakna
jika seseorang itu mengabai dan meninggalkan solat secara sengaja.
Selepas
pertemuan itu, Nabi Muhammad pun turun ke langit ke enam dan bertemu
semula dengan Nabi Musa yang bertanyakan mengenai hasil pertemuan
baginda dengan Allah.
"Apa yang Allah perintahkan untuk umat kamu wahai Muhammad," tanya Nabi Musa.
"Allah memerintahkan aku dan umatku supaya mendirikan solat 50 fardu waktu sehari semalam," jawab Nabi Muhammad.
Musa
pun berkata lagi: "Kaum Israel pernah diperintahkan kurang daripada
itu tetapi itupun mereka tidak mampu laksanakan. Kamu naiklah lagi dan
minta Allah ringankan (kurang jumlah fardu) solat itu."
Sesetengah
riwayat menceritakan baginda terpaksa berulang kali menemui Allah
semula bagi tujuan untuk meringankan jumlah fardu solat itu.
Sehinggalah akhirnya ditetapkan ibadat solat itu difardukan lima kali
sehari tanpa boleh dikurangkan lagi.
Itupun Nabi Musa tetap menggesa Nabi Muhammad dikurangkan lagi lima waktu itu.
Lalu baginda pun berkata: "Aku rasa malu dengan tuhanku, namun aku reda dan aku menyerah diri."
Sepanjang
mikraj itu juga Nabi Muhammad diperlihatkan dengan pelbagai kehidupan
di alam akhirat, iaitu alam yang kekal bakal didiami oleh seluruh umat
manusia.
Turut
diperlihatkan ialah pelbagai gambaran bentuk pembalasan terhadap apa
juga amalan yang dilakukan oleh manusia semasa hidup mereka di dunia.
Namun yang paling berkesan pada baginda yang diceritakan kepada para pengikutnya ialah mengenai gambaran syurga dan neraka.
Apa
pun gambaran mengenai syurga dan neraka tersebut, namun yang jelas
kedua-duanya wujud di akhirat sebagaimana yang disebut berkali-kali
dalam al-Quran.
Namun itu pun masih tidak dapat dipercayai oleh sesetengah pihak.
Jadi apabila Nabi Muhammad telah melihatnya sendiri dengan mata kepala baginda, adakah kita masih tidak mempercayainya lagi?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar